19 Jun, 2013

SIAPA SPEAKER DUN PERAK? SIAPA PULAK BAKAL PEMIMPIN NOM 1 MIC?


Jika ada yang masih meragui isu perlantikan speaker DUN Perak dan dua pegawai kanan Menteri Besar Datuk Seri Dr.Zambry Abd Kadir, yakinlah isu itu sudahpun selesai.
 
Bagi Dr.Zambry yang juga Pengerusi BN negeri walaupun isu itu dianggap selesai dan enggan diheret mengulasnya lebih lanjut, beliau enggan membuat penjelasan jauh menyimpang dari isu berkenaan.
 
Dengan kata lain Menteri Besar berpendapat perlantikan speaker DUN Perak, seperti diumumkan, akan dibuat dalam sidang DUN hujung bulan ini. Tak perlu dipersoal siapa calonnya kerana DUN Perak akan menentukan.
 
Lagipun menurut Dr.Zambry sebelum nama calon berkenaan dibawa ke sidang DUN banyak proses perlu diikuti termasuk perbincangan dengan pucuk pimpinan pusat.
 
Manakala menunggu perlantikan speaker, walau siapapun orang itu.  Dr.Zambry mahu semua pihak menghormati keputusannya melantik dua pegawai kanan mewakili masyarakat India yang diumumnya baru-baru ini.
 
Kerana kata beliau perlantikan yang dibuat dan diumumkan itu “adalah hak mutlaknya.”
 
Beliau merujuk kepada dua calon yang dilantik ke dua jawatan penting di pejabatnya iaitu pegawai khas dan penasihat Menteri Besar bagi komuniti India.

Dua orang  calon berkenaan ialah V Elango, Ketua MIC bahagian Lumut sebagai  penasihat MB manakala C Sivaraj, Pegawai Khas.

Mereka sepatut mula bertugas pada17 Jun.

Menurut satu sumber sehingga semalam,kedua-duanya belum melaporkan diri. Konon mereka gagal berbuat demikian kerana menunggu “lampu hijau” dari MIC pusat.

Untuk rekod MIC meminta jawatan speaker DUN Perak diberikan kepada calonnya. Tuntutan diumumkan Presiden MIC Datuk Palanivel dengan memberi kata putus jika MIC tak dilantik speaker, MIC Perak akan menolak semua jawatan dalam kerajaan. Ini termasuk juga jawatan pegawai khas dan penasihat MB.

Bagaimanapun ketika diajukan persoalan ini kepada Dr.Zambry sebaik selesai program hari bertemu pelanggan di Ipoh hari ini (Selasa), beliau  menganggap isu berkenaan sudah selesai.

Beliau tidak mahu pihak media memperpanjangkan lagi polimik ini kerana “saya jawab soalan tadi kerana menghomati soalan anda. . . . saya minta tak payah tulislah . . . .dah selesai.”

Dr.Zambry berpendapat perlantikan dua pegawai—Elango (penasihat)  dan Sivaraj (pegawai  khas)—ke dua jawatan penting di pejabatnya adalah haknya.

Beliau mengulangi bahawa isu ini bukanlah datang darinya malah ia ditimbulkan oleh Presiden MIC.

Ketika diasak berulang kali, Dr.Zambry berkata “saya sudahpun jawab soalan itu dulu . … “merujuk kepada isu speaker dan dua pegawai.

“It’s a non issue . .. . semua dah selesai. Malah anda (media)  tak perlu tulis mengenainya . . . .”

Katanya sebagai pemimpin,”lazimnya pemimpin buat kenyataan sekali mengenai sesuatu isu, bukanya berubah-ubah.. . .”

Beliau sekali lagi meminta media dan orangramai menunggu sidang DUN tidak lama lagi bagi mengetahui calon speaker DUN Perak.

 Menteri Besar juga menjelaskan perlantikan dua pegawai berkenaan sebagai memenuhi janji yang dibuatnya pada komuniti India di Perak sebelum PRU ke13 lagi.

“Saya melantik mereka kerana janji yang saya buat pada komuniti India sebelum pilihanraya lalu . .. . jadi saya dah tunai janji .. . .”

Bagi pemerhati politik isu perlantikan speaker seperti yang dituntut MIC bukanlah isu yang harus dijadikan “ugutan”  kerana ia boleh menjejaskan perpaduan didalam BN negeri.

BN negeri bersetuju melantik Datuk R.Ganesan, seorang peguam dan tokoh MIC yang kalah dalam PRU ke12 pada 2008, ke jawatan speaker DUN Perak pada 2009 bagi mengimbangi perlantikan dibuat Pakatan Rakyat pada 2008.

PR sebaik berkuasa buat pertama kali melantik Sivakumar sebagai speaker—memecah tradisi di Perak apabila wakil India dilantik ke jawatan berkenaan. Selama ini speaker DUN dipegang oleh calon UMNO.

Oleh kerana ketika itu BN mahu menarik sokongan  masyarakat India menjelang PRU ke13, mereka memberi peluang calon India dari MIC sebagai speaker seperti dibuat PR.

Bagi MIC pusat “speaker DUN Perak adalah hak mereka berasaskan perlantikan Ganesan pada 2009.” Untuk rekod dua calon MIC tewas dalam PRU ke13 manakala dua kawasan milik MIC ditandingi UMNO/BN—Pasir Panjang dan Behrang.

Calon UMNO/BN menang di kedua-dua kawasan berkenaan. Bagaimanapun sebagai pertukaran, dua calon MIC akan diberikan jawatan senator.

Untuk rekod juga Ganesan bukanlah pilihan pertama  MIC untuk dipertimbangkan ke  jawatan speaker kali ini.

Selepas sidang DUN Perak yang terakhir menjelang PRU ke13 Disember lalu, Ganesan  memfailkan saman RM25 juta terhadap 5 tokoh DAP negeri berhubung pendedahan rakaman video seks, yang didakwa membabitkan aksinya bersama seorang wanita.

Kes difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh. Dan 5 tokoh yang dinamakan dalam writ saman antaranya Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham: Setiausahanya, Nga Kor Ming;  V Sivakumar; A Sivasubramaniam dan  Lim Pek Har yang dinamakan  sebagai defendan.

Dikalangan pemerhati, isu yang dibangkitkan Palanivel mengenai tuntutan jawatan speaker (beliau juga Pengerusi MIC negeri) ada kaitan dengan pertandingan bagi jawatan Presiden MIC pada 22 November manakala penamaan calon, 1 November.
 
Sudah kedengaran desas desus ada beberapa calon yang akan bertanding menentang Palanivel bagi merebut jawatan berkenaan.
 
Calon yang paling favorit dikalangan masyarakat India untuk menentang Palnivel  ialah Naib Presiden Datuk SK Devamany.
 
Devamany merupakan bekas ahli parlimen Cameron Highland. Tapi tempatnya diambil alih Palanivel dalam PRU ke13 manakala Devamany diletak di Sungai Siput, bekas kawasan yang diwakili Samy Velu.
 
Dalam PRU ke13, Devamany tewas pada Jeyakumar dengan majority, 2,793. Devamany memperoleh 18,800 berbanding Jeyakumar,21,593. Kemenangan Jeyakumar  berpunca sokongan 80 peratus pengundi Cina.
 
Dalam komen terbaru  Palanivel berkata beliau akan bertanding sebagai presiden parti itu buat kali terakhir pada penggal ini.

Katanya sama ada namanya disenaraikan sebagai calon presiden ataupun tidak, ia bukan menjadi masalah bagi dirinya.

"Saya bertanding atau tidak, ia tidak menjadi masalah bagi saya, tetapi kalau saya dipilih, ini adalah penggal terakhir bagi saya, sekarang saya sudah berumur 64 tahun:”katanya.
 
Justeru bagi pemerhati politik tempatan isu perlantikan speaker yang dituntut MIC boleh memberi kelebihan pada Palanivel untuk mempertahankan jawatan presiden.

Peluang Palanivel jauh lebih cerah dari kompetitornya memenangi jawatan presiden jika speaker DUN Perak diserahkan  sekali lagi pada calon MIC—seperti yang dipejuangkan.


Sumber : Agenda daily


Tiada ulasan:

ANDA JUGA MUNGKIN MENCARI INI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Cerita kengkawan

YANG SEKUPANGDUA SELALU ROUND