30 Januari, 2013

KUMPULAN GAJAH DIRACUN! ANAK GAJAH MENANGIS MELIHAT IBUNYA MATI


TAWAU – Kawasan Hutan Simpan Gunung Rara yang terletak kira-kira 130 kilometer dari sini bukan lagi menjadi tempat perlindungan yang selamat bagi gajah pigmy atau Gajah Kerdil Borneo apabila 10 ekor haiwan spesies yang dilindungi itu ditemui mati dipercayai diracun dalam tempoh dua minggu lalu.
Kesemua gajah yang ditemui mati itu dipercayai daripada satu keluarga membabitkan tujuh betina dan tiga jantan berusia dari empat hingga 20 tahun.

Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan kesemua gajah tersebut menjadi mangsa kekejaman manusia termasuk siasatan terhadap penggunaan racun tikus.
Teori racun tikus itu timbul selepas kes tujuh ekor gajah pigmy ditemui mati akibat termakan bahan berbahaya itu di Rizah Hidupan Liar Tabin,Lahad Datu kira-kira 10 tahun lalu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Datuk Dr. Laurentius Ambu ketika dihubungi semalam menceritakan,misteri kematian haiwan itu dilaporkan pada 23 Januari lalu selepas empat bangkai gajah ditemui di sepanjang jalan pembalakan Telupid di kawasan hutan simpan berkenaan.
Kawasan penemuan bangkai itu pula terletak kira-kira lima kilometer dari kem pembalakan Empayar Kejora Sdn. Bhd,sebuah anak syarikat Yayasan Sabah.

“Sepasukan anggota dari Jabatan Hidupan Liar telah menyiasat di lokasi tersebut sebelum menemui empat lagi bangkai gajah dua hari kemudian,” katanya.
Awal bulan ini,kakitangan jabatan itu menemui dua bangkai gajah di kawasan berkenaan dan menjadikan keseluruhan bangkai yang ditemui ialah 10 ekor.
Beliau juga mengesahkan siasatan awal mendapati kesemua gajah tersebut mati akibat termakan racun.

Sesuatu yang menyayat hati bagi pakar veterinar,Dr Sen Nathan apabila melihat seekor anak gajah pigmi Borneo cuba menggerakkan ibunya yang sudah mati di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau di Sabah.

Pakar veterinar Jabatan Hidupan Liar Sabah itu menyaksikan sendiri detik berkenaan ketika melakukan siasatan berhubung misteri kematian sepuluh ekor gajah terdiri daripada tujuh gajah betina dan tiga gajah jantan di Unit Pengurusan Hutan (FMU) 23, kawasan konsesi Yayasan Sabah di hutan simpan berkenaan iaitu kira-kira 130 kilometer dari Tawau.

“Saya berasa sangat sedih,tiada perkataan untuk menggambarkan perasaan saya,” katanya,sambil menambah bahawa anak gajah jantan berusia tiga bulan bernama Kejora itu telah dihantar ke Zoo Hidupan Liar Lok Kawi untuk dijaga termasuk bagi memberi susu botol.

Sepuluh ekor gajah berumur antara empat hingga 20 tahun ditemui mati antara 29 Disember dan 24 Januari lalu di kawasan Lembah Danum dan Lembangan Maliau.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Datuk Dr Laurentius Ambu berkata keracunan mungkin punca utama kematian gajah berkenaan.
“Post mortem yang dilakukan mendapati tiada kesan kecederaan akibat tembakan sebaliknya bahagian organ dalaman gajah-gajah berkenaan rosak teruk.Selain bahagian usus,mulut dan anus mereka turut didapati berdarah.

“Kami mengesyaki terdapat unsur keracunan daripada bahan makanan yang mereka makan (toksin semulajadi atau racun perosak) tetapi kita masih menunggu laporan makmal analisis kimia,” kata Dr Ambu.
Menurut Ambu, laporan pertama diterima pada Selasa ketika pegawai Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) menjalankan kajian hidupan liar dimaklumkan oleh seorang pekerja mengenai kematian gajah kira-kira 5 kilometer dari pintu Syarikat Empayar Kejora Sdn Bhd iaitu sebuah anak syarikat Yayasan Sabah.

Katanya gajah berkenaan mungkin termakan racun di tempat lain dan berjalan beberapa kilometer sebelum rebah di kawasan berhampiran Empayar Kejora.
“Kami percaya bahawa kematian semua gajah ini ada kaitan antara satu sama lain,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

cerita ler yop apa yang suka... tapi kalau benda baik tu ok ler, jauhi fitnah walaupun teman tau banyak yang mat outa akan belagak tahu. tidak bertanggungjawab semua penulisan anda, posting merupakan pandangan peribadi penulis, teman ler tu...