Murid diheret ke kancah politik
Wakil kepada kumpulan bapa tersebut. Jamil Mohd. Isa, 44, berkata, pihaknya kesal dengan tindakan guru penolong ko-kurikulum di sekolah tersebut yang tergamak bertanya parti politik mana yang disokong oleh anaknya yang baru berusia 11 tahun iaitu murid tahun lima.
''Anak saya yang berumur 11 tahun diperlakukan seperti orang dewasa, guru tersebut meminta murid yang menyokong Barisan Nasional (BN) supaya berdiri di atas kerusi manakala yang memilih pakatan pembangkang diminta duduk.
''Bayangkan kanak-kanak yang masih mentah dalam soal politik disuruh memilih parti mana yang mereka sokong. Seramai 17 murid yang menyokong BN diarahkan oleh guru itu untuk menjelaskan mengapa mereka menyokong BN dan setelah itu dibenarkan duduk," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Jamil berkata, guru tersebut turut membuat perbandingan dan menulis di papan kenyataan dengan mengatakan pakatan pembangkang adalah pandai dan BN adalah bodoh.
Tambahnya, tindakan tidak bertanggungjawab guru tersebut turut melibatkan dua lagi kelas di sekolah tersebut sekali gus memberi mesej tidak baik kepada murid yang masih mentah dalam dunia politik.
Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya telah membuat laporan polis dan laporan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana minggu lepas berhubung insiden terbabit.
''Saya mohon agar siasatan dilakukan ke atas guru terbabit dan tindakan setimpal dikenakan sekiranya terbukti benar aduan tersebut," katanya.Seorang lagi bapa, Nor Azman Mat Nasir, 36, turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap seorang insan bergelar guru yang sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada anak didiknya.
''Anak-anak dihantar ke sekolah untuk belajar supaya mereka menjadi pandai dan menghormati orang lain bukannya belajar mengenai politik dan diasuh supaya benci membenci antara satu sama lain.
''Kami ibu bapa mahu guru-guru di sekolah terbabit menanggalkan baju politik di pintu pagar dan didiklah anak-anak kami dengan ikhlas dan amanah," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Hashim Anang berkata, pihaknya telah mendengar penjelasan guru berkenaan mengenai dakwaan tersebut dan menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Pelajaran Selangor untuk tindakan lanjut.
''PIBG berpendirian agar kes tersebut disiasat oleh Jabatan Pelajaran Selangor dan Pejabat Pelajaran Daerah Petaling Perdana kerana perkara tersebut melibatkan prosedur sedia ada untuk penjawat awam," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130514/po_07/Murid-diheret-ke-kancah-politik#ixzz2TQoPyQ3X
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan