12 Julai, 2013

PETISYEN PAS GAGAL DAN DITOLAK, DIARAH BAYAR KOS RM 30 K

Petisyen PAS batal keputusan PRU13 ditolak
KOTA BHARU:  Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak petisyen yang difailkan Pas untuk membatalkan keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Selising yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRU13 lalu.
 
Hakim Pilihan Raya Datuk Zamani Abdul Rahim, yang membuat keputusan itu, berkata ini kerana pihak pempetisyen gagal mematuhi peraturan penyampaian.

Katanya petisyen berkenaan tidak disampaikan dengan sempurna dan menyebabkan ia tidak sah dan ditolak dengan kos.

"Petisyen itu tidak disampaikan dengan sempurna dan dengan ini petisyen ini tidak sah dan ditolak dengan kos," katanya ketika membacakan keputusan itu.

Zamani kemudian mengarahkan pihak pempetisyen membayar kos RM30,000. Petisyen itu difailkan Pengarah Pilihan Raya PAS Dun Selising, Semsudin Muhammad.

Pada PRU13 lalu, kerusi Dun selising dimenangi calon BN, Zulkifle Ali yang mengalahkan calon PAS, Saipul Bahrim Mohamad dan calon Bebas, Ibrahim Ismail dengan majoriti 107 undi.

Pada prosiding hari ini, Zamani turut menolak bantahan awal yang difailkan defendan-defendan daripada PAS bagi membatalkan petisyen bagi kawasan Parlimen Bachok, Dun Jelawat dan Dun Gaal yang dibuat oleh BN.
 
Zamani mengarahkan defendan membayar kos RM30,000 bagi setiap bantahan awal yang ditolak itu.
 
Sehubungan itu, beliau menetapkan sembilan hari iaitu dari 12 hingga 15 Ogos dan dari 18 hingga 22 Ogos ini untuk tarikh perbicaraan bagi petisyen kawasan Parlimen Bachok dan Dun Jelawat, serta dari 1 hingga 5 Sept untuk tarikh perbicaraan petisyen Dun Gaal.
 
Bagi kawasan Parlimen Machang, Zamani menetapkan 16 Julai ini untuk mendengar keputusan bantahan awal dan jika ditolak, beliau menetapkan 8 hingga 12 Sept sebagai tarikh perbicaraan.

Barisan peguam yang mewakili PAS dan PKR diketuai Hisham Fauzi. Pada PRU13, PAS menguasai 32 kerusi Dun di Kelantan berbanding BN yang memenangi 12 kerusi manakala PKR satu kerusi.

Bagi kerusi Parlimen, BN memenangi lima daripada 14 kerusi, yang lainnya dimenangi PAS.

Tiada ulasan:

ANDA JUGA MUNGKIN MENCARI INI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Cerita kengkawan

YANG SEKUPANGDUA SELALU ROUND